Friday, January 15, 2010

tania nadira hudson

Tuah Tania


Tania Hudson

Bersyukur diberi peluang kedua teruskan kembara seni selepas bertarung nyawa dengan penyakit pendarahan otak

KETIKA artikel ini ditulis, adik kepada Natasha Hudson ini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Mayang Mengurai yang bakal menemui penonton slot Lagenda TV3 dan TV9 malam ini. Drama yang diadaptasi daripada cerita dongeng ini menjadi pembuka jalan yang baik pada tahun ini buat Tania Hudson, 24.

Biarpun sudah lama membabitkan diri dalam dunia seni, Tania masih menganggap dirinya masih hijau dalam kembara seni yang baru bermula ini. Dan seperti kebanyakan manusia lain, Tania juga sering diuji hingga membantutkan minatnya dalam lakonan.

Menyedari bukan semua orang diberi nikmat dan peluang kedua yang sewajarnya dihargai, lalu, hembusan udara yang sedang disedutnya kini menjadi ruang untuk dirinya bermuhasabah diri dan meneruskan kehidupan mendatang. Ini termasuk meneruskan cita-citanya dalam bidang lakonan dan peragaan.

“Sesiapa pun yang berada di tempatnya pasti akan memanjatkan kesyukuran kerana Tuhan masih memberi ruang untuknya menghela nafas lagi. Tahun lalu saja, saya diuji dengan ujian yang cukup perit hingga perlu bergelut dan bertarung nyawa tatkala berdepan dengan masalah pendarahan otak yang dihadapi sejak Mac lalu.

“Saya tidak mahu mempersiakan peluang ini untuk terus melakar impian sebagai pelakon. Sudah lama impian saya untuk memenuhi ruang seni terbantut. Semuanya seperti rahmat dan saya harus mengambil peluang yang terbentang di depan mata ini serta lakukannya sebaik mungkin.

TANIA mendapat dorongan dan sokongan kakak serta ibunya untuk bergelar anak seni.

“Ia seperti simbolik memulakan fasa kehidupan baru untuk saya. Sebolehnya, saya mahu terbang tinggi dengan usaha sendiri. Saya berlakon kerana minat yang sangat mendalam dan secara kebetulan kakak saya juga mengikuti laluan kerjaya yang sama,” katanya yang mendapat sokongan yang jitu daripada kakak dan ibunya untuk menjadi anak seni.

Bercakap lanjut mengenai penyakit berkaitan otak dipanggil Arteriovenous Malformation (AVM) yang menyerangnya secara tiba-tiba, ia hadir tanpa sebarang simptom tertentu. Dia yang turut menghidap asma berkata, penyakit itu jarang berlaku kerana ia bukan diperoleh secara genetik atau diwarisi.

“Penyakit ini bukan saja boleh menyerang otak, malah saya dapat tahu, ia turut menyerang bahagian badan lain seperti jantung. Atas saranan doktor, saya tak boleh melakukan sebarang kerja yang boleh memberi tekanan. Oleh kerana penyakit yang saya alami, banyak benda yang saya lakukan hanya separuh jalan.

“Begitu juga dengan bidang pendidikan. Mungkin selepas stabil dalam bidang seni, saya akan mempertimbangkan hasrat untuk menyambung kembali pengajian di dalam bidang pemasaran fesyen,” katanya yang pernah menuntut dalam bidang itu di Raffles Design Centre, Kuala Lumpur.
Ketika ini, Tania masih dalam peringkat mengambil langkah berjaga-jaga dan belum pulih sepenuhnya. Malah pelawaan kali pertama untuk sesi fotografi bersamanya juga terpaksa ditolak kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.

Pelawaan kali kedua disambut dengan tangan terbuka. Apa yang mampu disimpulkan, cukup mudah bekerjasama dengannya dan semestinya pengalaman dalam bidang peragaan banyak membantunya untuk memberikan pose menarik buat tatapan pembaca Berita Harian.

“Perjalanannya saya masih jauh dan lumrah kehidupan pasti ada ujian dan halangan yang mendatang. Ibu dan kakak antara insan yang cukup bermakna dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya mungkin tidak akan terus tegar meneruskan kehidupan ini. Kakak pun banyak berkongsi pengalaman dan petua,” katanya.

No comments:

Post a Comment