sedekah pahala

SEORANG ulama besar Universiti al-Azhar, Mesir, Syeikh Atiyyah Saqar dalam himpunan fatwanya menyatakan ada tiga cara yang sepatutnya dilakukan berkaitan dengan hal sedekah pahala bacaan al-Quran iaitu:
l Membaca ayat al-Quran dan kemudian berdoa supaya dirahmati dan diampunkan dosa si mati. Orang yang berdoa hendaklah bertawassul dengan perbuatan solehnya iaitu membaca al-Quran dan kemudian doakan kerahmatan buat si mati.
l Membaca ayat al-Quran dan kemudian dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan: �Allahumma awsil thawaba ma qara'nahu li fulan (Ya Allah sampaikanlah pahala apa yang telah kami bacaan kepada roh si polan)
l Diniatkan terlebih dulu pada permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Quran bahawa pahala bacaan itu untuk si polan bin si polan.
Seorang ulama Nusantara, Syeikh Daud al-Fatani pernah ditanya, apakah hukumnya membaca doa khatam al-Quran dengan meniatkan pahala bacaan kepada roh si mati, beliau menyatakan bahawa ia adalah dibenarkan, seperti terjemahan doa di bawah ini :
"Ya Allah, jadikanlah pahala bacaan kami sebagai tambahan kemuliaan bagi Nabi, dan jadikanlah juga pahala yang sama dan gandakannya untuk roh si polan atau dalam suratan amalannya."
Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni ada menyebut bahawa pahala bacaan al-Quran kepada si mati sampai kepadanya. Perkara ini berdasarkan kepada satu riwayat daripada Imam Ahmad yang bermaksud :
"Apabila kamu memasuki tanah perkuburan, bacalah ayat al-Kursi dan tiga kali surah al-Ikhlas, kemudian katakanlah: Wahai Tuhanku, sesungguhnya bacaan ini adalah untuk ahli kubur."
Beliau turut menyebut satu hadis yang menyatakan kelebihan membaca surah Yasin sebagai sedekah kepada si mati, maksudnya : �Sesiapa yang memasuki tanah perkuburan, bacalah surah Yasin, nescaya seksa kuburnya akan diringankan pada hari itu."
Dalam satu riwayat lain, Rasulullah menyebut satu hadis yang bermaksud:
"Sesiapa yang menziarahi kubur ibu bapanya, bacalah surah Yasin buat mereka, maka dosa ibu bapa mereka akan diampunkan."
Dalam kitab al-Tazkirah karangan Imam al-Qurtubi ada juga satu riwayat lain daripada Imam Ahmad bermaksud: �Apabila kamu memasuki tanah perkuburan, bacalah al-Fatihah, surah al-Falaq, surah an-Nas dan surah al-Ikhlas, jadikanlah bacaan kamu itu sedekah buat ahli kubur kerana sesungguhnya pahala bacaan itu sampai kepada mereka."
Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan bahawa orang yang hidup boleh membantu orang yang telah meninggal dunia dengan berdoa dan sedekah pahala bacaan al-Quran kepada mereka.
Semoga hidup manusia akan sentiasa dilindungi rahmat dan keampunan daripada Allah.

Comments

Popular Posts