sejarah hubungan muslim dan kristian

HUBUNGAN Muslim dan Kristian bermula sejak detik terawal dakwah Nabi Muhammad SAW. Bahkan selepas menerima wahyu pertama Baginda SAW dibawa oleh Khadijah untuk mendapatkan konsultasi daripada seorang ahli kitab, Waraqah bin Naufal.

Kemudiannya kita menemui sejumlah rahib dan paderi Nasrani memeluk ajaran Islam. Terkenal sekali dalam sejarah Islam, kisah kembara seorang pemuda Nasrani mencari hidayah.

Kemudiannya lelaki ini dikenali sebagai salah seorang sahabat Nabi SAW yang kanan dan utama, bahkan dipuji dalam hadis Baginda SAW. Itulah Salman Al-Farisi.

Adi bin Hatim at-To’i juga salah seorang sahabat Nabi SAW yang dikenali dalam riwayat tafsir al-Quran, asalnya juga Adi ialah seorang ketua suku at-To’i di Najd dan beragama Nasrani.

Hubungan Kristian dan Muslim terjalin sejak lama. Ahli sejarah mencatatkan, kehidupan rakyat Kristian di bawah kerajaan Islam jauh lebih baik berbanding di bawah kekuasaan Yahudi. Hak-hak Kristian dan bukan Muslim yang lain dijaga.

Khianati janji

Firman ALLAH maksudnya: "Dan kalaulah ALLAH tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama ALLAH banyak-banyak padanya dan sesungguhnya ALLAH akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya ALLAH Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." (Surah Al-Hajj: 40)

Titik makar dan onar dalam sejarah peradaban manusia ialah bangsa yang pernah ALLAH muliakan pada suatu ketika dahulu yakni Bani Israel yang kemudian dikenal sebagai Yahudi.

Namun ternyata kemudiannya mereka mengkhianati janji mereka kepada ALLAH dan rasul-Nya, Mereka mendustai nabi-nabi yang telah ALLAH utus dalam kalangan mereka. Yahudi membunuh Nabi Zakaria dan Yahya. Zakaria yang mengasuh Maryam ibunda Isa AS. Dan nyaris Isa juga dibunuh oleh Yahudi.

Umat Islam dan umat Kristian jangan terpedaya dengan tipu daya Yahudi memprovokasi mengeruhkan hubungan baik Muslim Kristian yang terwujud sejak sekian lama. Benar ada perang antara kita.

Jangan terkeok dan terkecoh kerana sesama Arab sendiri pernah wujud siri peperangan yang panjang. Demikian dalam ajaran Islam sendiri ada mazhab Khawarij dan Syiah yang menghalalkan darah sesama umat.

Bukankah juga sesama umat Kristian pernah berlaku pertumpahan darah yang dahsyat. Ia tidak lain angkara kelompok yang jahil dan mengikut hawa nafsu. Dan di tengah-tengah itu terpercik api permusuhan, ditiup oleh Yahudi lalu bersemarak peperangan.

Sedangkan menurut ajaran agama hanif yang dibawa oleh Khalil ALLAH Ibrahim AS. Seterusnya Daud bersama Zabur, Musa bersama Taurat, Isa bersama Injil dan Muhammad SAW bersama al-Quran; perang itu tidak lain bertujuan mempertahankan keamanan dan menebarkan kedamaian.

Bisikan iblis

Hakikat ini harus dimengerti dan difahami agar dua agama terbesar umat manusia ini tidak dilaga dan diperseterukan oleh musuh ALLAH. Dan siapakah musuh ALLAH yang lebih besar selepas iblis laknatullah, kalau bukan Yahudi.

Iblis yang membisikkan kepada Bani Israel untuk membuat lembu daripada emas lalu menganggapnya sebagai Tuhan. Iblis yang membisikkan kepada Yahudi untuk memuliakan Nabi ALLAH Uzair berlebihan lalu mengangkatnya sebagai anak Tuhan.

Dan iblis juga yang membisikkan kebohongan bahawa Isa bin Maryam itu adalah anak Tuhan. Walhal tidak pun walau sepatah yang dapat kita temui kenyataan dan pengakuan Isa dalam Bible bahawa baginda adalah Tuhan. Yang benar lagi tercatat dalam kalam ALLAH yang terpelihara yakni al-Quran yang mulia.

Firman ALLAH maksudnya: "Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak ALLAH" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak ALLAH". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga ALLAH binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?" (Surah At-Taubah: 30)

Maka seruan orang beriman kepada semua anak manusia agar kembali kepada fitrah, kembali kepada agama yang hanif, agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS. Itulah agama semua para nabi dan rasul yakni berserah diri hanya kepada ALLAH Yang Esa. ALLAH yang menciptakan langit tujuh lapis dan menciptakan bumi tujuh lapis juga.

Firman ALLAH maksudnya: "Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau ALLAH?

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan ALLAH kepadanya?" Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan." (Surah Al-Baqarah: 140)

Seandainya ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Kristian kembali menekan Zabur, Taurat dan Injil yang masih ada di tangan mereka, dengan tulus dan ikhlas semata-mata mengharapkan petunjuk kebenaran, nescaya mereka akan menemui secerah cahaya kebenaran.

Ini ditegaskan oleh ALLAH dalam firman-Nya yang bermaksud: "Nabi Muhammad SAW ialah Rasul ALLAH: dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).

Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya.

Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).

Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengagumkan orang-orang yang menanamnya.

(ALLAH menjadikan sahabat-sahabat Nabi SAW dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) ALLAH telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar." (Surah Al-Fath: 29)

Daripada perjanjian lama (Taurat) dan perjanjian baharu (Injil) itu ada banyak sekali petunjuk mengarahkan kepada perjanjian terakhir (Final Testament). Itulah kitab dijanjikan ALLAH terpelihara ketulenan dan keasliannya daripada perubahan dan penyelewengan oleh tangan jahat manusia. Itulah al-Quran al-Karim yang diwahyukan kepada Al-Amin.

Mohd Riduan Khairi,
Ketua Jabatan Penerbitan iLMU

Comments

Popular Posts